Wednesday, June 22, 2011

JENIS PEMILIKAN - TUNGGAL ATAU PERKONGSIAN?

Perniagaan milikan tunggal dimiliki oleh seorang individu dan memerlukan modal yang kecil. Pengurusan perniagaan juga dilakukan secara bersendirian. Kebaikan-kebaikan perniagaan milikan tunggal ialah perniagaan ini lebih mudah ditubuhkan, peniaga bebas membuat keputusan, lokasi perniagaan biasanya terletak berhampiran dengan kediaman pelanggan, hubungan dengan pelanggan lebih rapat dan keuntungan dinikmati sendiri. Walau bagaimanapun peniaga juga menghadapi pelbagai risiko lain seperti liabiliti peniaga tidak terhad (peniaga menanggung kesemua hutangnya sekiranya bankrap), perniagaan sukar berkembang, sukar mendapat pinjaman perniagaan dan terpaksa melakukan kesemua kerja kerana tiada pengkhususan kerja.

Perniagaan perkongsian biasanya dimiliki 2 hingga 20 orang. Sumbangan modal adalah hasil daripada sumbangan rakan kongsi mengikut persetujuan bersama. Pengurusan perniagaan diurus oleh ahli kongsi yang aktif dan biasanya terdapat surat perjanjian perkongsian yang merangkumi liabiliti setiap ahli, cara pembahagian untung dan juga cara pembayaran cukai. Terdapat 2 jenis perkongsian iaitu perkongsian biasa dan perkongsian berhad. Ahli kongsi bagi perkongsian biasa mempunyai liabiliti tidak terhad manakala ahli kongsi perkongsian berhad menanggung liabiliti sekadar jumlah modal yang dilaburkan. Untung dibahagikan berdasarkan persetujuan bersama dan cukai dibayar berdasarkan pendapatan setiap individu. 

Seperti juga perniagaan milikan tunggal, perniagaan perkongsian juga mempunyai kebaikan dan keburukannya. Kebaikan perkongsian ialah ia mempunyai modal yang lebih besar, senang ditubuhkan, kerugian ditanggung bersama, ada pengkhususan kerja, perkongsiaan idea sesama ahli kongsi dan dikenakan cukai yang lebih rendah. Perniagaan perkongsian biasanya tidak kekal lama disebabkan berlakunya perselisihan faham dalam tindakan/keputusan yang diambil. Di dalam perkongsian, setiap keputusan yang salah oleh seorang akan turut melibatkan semua ahli kongsi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.